ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH!

SELAMAT DATANG KAWAN-KAWAN KU YANG BER-AGAMA ISLAM! MARI DENGAN SAYA MEMBUAT BLOG YANG ISINYA TENTANG ISLAMI SEMOGA BISA MEMBUAT TEMAN-TEMAN LEBIH TAHU TENTANG ISLAM & MEMBUKA HATI TEMAN-TEMAN AGAR KITA BERTAKWA KEPADA "ALLAH SWT"

Sabtu, 04 Juni 2011

Kembalilah Tersenyum

Beruntung sungguh menjadi seorang Muslim. Setiap gerak tingkah sentiasa ada pedomannya. Walau perkara yang amat kecil jika dipandang, namun hati tetap senang dengan setiap landasan yang diberikan. Islam agama yang menyentuh keseluruhan kehidupan.
Rukun Iman yang enam sudah kita ketahui dan perlu diyakinkan. Menarik untuk perkara yang keenam iaitu percaya kepada Qada dan Qadar atau dengan kata lain percaya kepada apa yang Allah tentukan.
Hidup memang ada cabaran. Terutamanya kepada orang yang beriman. Pasti akan diuji.
Firman Allah:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: " Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (al-Ankabut, Ayat 2
 
Ini adalah sunnatullah, ini ketetapan Allah yang perlu diterima. Walau bagaimanapun, seseorang yang diuji sepatutnya perlu tabah dengan sebarang ujian. Kemiskinan, kekayaan, kesakitan, kehilangan harta benda, kematian dan sebagainya kerana Allah lebih berhak terhadap diri kita. Semua adalah pinjaman.
Yakinlah kita bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. Semestinya Dia tidak akan membebankan hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Pasti tidak! Tuhan yang Maha Mengetahui tahap keimanan kita dan kesanggupan yang ada pada kita, pasti menguji dengan tahap yang sesuai dengan Iman masing-masing.
Firman Allah:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (al-Baqarah, Ayat 286)
 
Kembalilah kita tersenyum dan tabah dengan ujian. Memang benar, lidah berbicara petah belum tentu sendi bergerak lincah. Mungkin penulis sedikit kurang untuk indah berbahasa, namun keyakinan penulis tetap pada kalamullah yang tiada setara indahnya bahasa. Bukakanlah selaput kelabu di hati, agar kunang-kunang singgah ke mari, sinar cahaya kan kembali lagi. Wallahua'lam.

Sumber 

Ingatlah Allah Sentiasa

Hamba-Hamba ALLAH Sekalian,
Allah catitkan di dalam Al-Quran tentang manusia-manusia yang berasal dari air mani dan kemudian dibesarkan..akhirnya menjadi pengkhianat yang nyata. manusia-manusia begini dimurkai oleh Allah, tuhan orang muslim...oleh itu apakah kita yang Muslim ini, jika telah mengkhianati Allah, tidak terasa setinta takut kepadanya?
Allah ciptakan syurga, di dalamnya manusia bersenang lenang dan ditemani pasangan cantik- cantik, air sungai yang mengalir tenang, syurga yang amat indah terlebih indah sehingga tidak terfikirkan untuk orang-orang yang ikhlas menyerahkan dirinya dan takwa kepada Allah.
Dunia ini kata Muhammad, umpama setitis air dari selautan, dan selautan itu adalah
akhirat...bayangkanlah, jika yang setitis nih pon kita telah tergoda oleh cantik dan
indahnya..bagaimana pula yang selautan itu? dapatkah kita gambarkan?
Manusia-manusia yang menyerahkan diri pada agama Allah tidak akan rugi, kemenangan manusia di dunia ini adalah dalam agamanya...jadilah manusia yang hebat di dunia dan di akhirat!
Bacalah al-quran, dekatkan lah minda kepada hadis...teguhkan ukhuwah sesama Muslim..kita perlu kuat untuk menentang segala pengaruh yang melemahkan kita. bersederhanalah dalam berhibur...bersederhanalah memenuhkan jiwa
dengan keseronokan, kita kini dipermainkan musuh-musuh Allah. mari kita kuatkan diri kita, kuatkan masyarakat kita, kuatkan negara kita..dalam memperjuangkan agama..takbir!!
..dengan mengingati Allah...hati akan menjadi tenang..

Sumber 

Bila Memuji

Memberikan pujian kepada orang lain adalah termasuk di dalam komunikasi. Saya ingin menyentuh mengenai cara memberi pujian kepada orang. Ini kerana kadang-kadang, dengan pujian kita itu mampu menaikkan semangat orang dan kadang-kadang boleh merosakkan hidup mereka juga.
Dalam Islam, sesungguhnya pujian semata-mata kerana Allah, dan untuk Allah jua.
Islam melarang kita memberi pujian yang melampau kepada manusia kerana bimbang akan timbulnya perasaan riak dan takbur. Bahayanya memberi pujian ada dinyatakan di dalam hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Diriwayatkan, Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain, lantas Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Malang kamu! Sesungguhnya kamu sudah memotong lehernya! Kemudian Baginda s.a.w menambah: "Sekiranya seseorang daripada kamu tidak dapat mengelak daripada memuji temannya maka hendaklah dia berkata, saya kira begini, jangan sekali-kali dia menyucikan seseorang mengatasi Allah." [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Ini menunjukkan sekiranya kita mahu memberi pujian kepada seseorang, kita kena dahulukan dengan pujian kepada Allah. Kerana segala pujian itu, kita tujukan kepada Allah dan sesungguhnya segala kelebihan yang ada pada seseorang itu diberi oleh Allah s.w.t. Dengan itu, teman atau orang yang mendengar pujian itu akan sedar bahawa dia tidak memiliki apa-apa sekiranya tidak dikurniakan Allah dengan segala kebaikan atau kelebihan tersebut.
Pujian yang diberi itu kadang-kadang membuatkan orang yang mendengarnya mempunyai dua keadaan. Samada senang dengan jawapan itu atau terkadang tidak tahu apa nak dijawab/ serba salah.
Contoh selalu yang kita dengar:
"Awak ni cantiklah."
Jawapan yang selalu kita dengar:
"Eh, ye ke?" dan sebagainya.
Bagi mereka yang memang menanti untuk dipuji akan merasa gembira dan kegembiraan itu akan ditakuti membawa kepada dosa. Ia mampu untuk menjadikan orang tersebut berbangga diri dan merasakan dirinya saja yang terbaik. Mafhum hadis Rasulullah s.a.w. :
"Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti menimpa kamu ialah kagum kepada buah fikiran dan diri sendiri. Sesiapa yang mendakwa dia orang yang beriman, maka sebenarnya dia kafir. Dan sesiapa yang mendakwa dia orang yang berilmu, maka sebenarnya dia jahil. Dan sesiapa yang mendakwa dia ahli Syurga, maka sebenarnya dia ahli neraka." [Hadis riwayat Ibn Marduwaih]
Namun begitu, kita perlu membezakan antara memuji (ada udang sebalik batu) dengan memberikan pengiktirafan dan penghargaan. Memberikan pengiktirafan dan penghargaan digalakkan bertujuan memberi galakan, melebarkan silaturahim dan mengeratkan kasih sayang.
Niat perlu dijaga sepanjang waktu. Contoh pujian atau penghargaan kepada isteri/ suami dan anak-anak, teman-teman atau sesiapa sahaja.
Dan seeloknya kita mengucapkan ucapan tahniah sekiranya sesuatu kebaikan yang dia terima sebagai penghargaan.
Oleh itu, mulai sekarang mari kita sama-sama melakukan perubahan. Kita memberi pujian secara ikhlas kepada anak-anak kita, pasangan, teman-teman atau sesiapa saja dengan pujian terhadap Allah dahulu dan seterusnya memberikan penghargaan kepada mereka.
Cara beri pujian. "Masya-Allah, cara awak menyampaikan ucapan tadi sangat berkesan, tahniah."
Dan sekiranya kita yang menerima pujian, teruskan lah memuji Alllah, kembalikan pujian itu kepada Allah, kerana kita tiada punya apa-apa kerana semua yang kita miliki adalah pinjaman daripada Allah jua.
Cara menjawab: "Alhamdulillah. Milik Allah jua. Saya cuma menyampaikan yang terbaik."
Oleh itu, sama-samalah kita menjaga lisan kita agar peribadi kita sentiasa dalam keadaan baik dan mendapat berkat Allah, walaupun perkara itu jarang kita perasan dan tidak pernah terfikir dengan perkara-perkara kecil, mungkin akan menjadi bonus untuk timbangan kita di Padang Mahsyar nanti, Ameen.
Saya akhiri dengan terjemahan ayat:
"Segala puji hanya untuk Allah, Pencipta dan Penguasa seluruh alam." [Surah al-Fatihah, ayat 2]

Jumat, 03 Juni 2011

Melatih Diri Menahan Nafsu dan Syahwat

Allah SWT telah memberikan wahyu kepada Nabi Musa as:
"Wahai Musa, jika engkau ingin Aku lebih dekat kepadamu daripada ucapanmu kepada lisanmu, daripada keraguan hatimu kepada hatimu, daripada rohmu kepada badanmu,daripada cahaya penglihatanmu kepada matamu dan daripada pendengaranmukepada telingamu, maka perbanyakkanlahmembaca selawat ke atas Muhammad SAW"
 Allah SWT telah berfirman:
Ertinya:  "Hendaklah tiap-tiap orang memerhatikan apa yang diusahakannya untuk  hari esok (hari Kiamat)"
(Q.S. al Hasyr: 18)
Ketahuilah wahai manusia! Sesungguhnya nafsu yang memerintahkan kejahatan itu lebih memusuhimu daripada Iblis. Syaitan hanyalah memperalat nafsu syahwat untuk menguasaimu. Janganlah engkau tertipu oleh nafsumu dengan segala angan-angan dan kepalsuan.
Watak nafsu adalah merasa aman, suka berlengah-lengah, bersuka-suka dan malas. Setiap rayuannya adalah batil dan palsu belaka. Jika engkau rela menuruti rayuannya, hancurlah engkau. Jika engkau lambat memperhitungkannya tentu akan tenggelam. Jika engkau lemah melawannya, lalu mengikuti keinginannya, tentulah dia akan melemparmu ke Neraka. Nafsu tidak akan pernah menuju kepada kebaikan. Ia sumber bencana. Dialah markas Iblis serta tempat segala keburukan yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT mengetahui segala apa yang engkau perbuat, baik mahupun buruk.
Jika seorang hamba mahu merenungi umurnya yang telah lanjut untuk mencari Akhirat, maka sesungguhnya ia menyucikan hati. Seperti disebutkan oleh Rasulullah SAW: "Berfikir sesaat itu lebih baik daripada ibadah setahun."
Demikian dalam tafsir Abu Laits. Maka sayugianya bagi orang yang berakal segera bertaubat atas dosa yang telah lalu, dan memikirkan akan bekal mencapai keselamatan di Akhirat. Dia memutuskan angan-angan keduniaan, segera bertaubat, mengingat Allah swt, meninggalkan larangan-larangan-Nya, sabar menahan nafsu dan tidak memperturutkan keininan syahwat. Ingat! NAFSU ADALAH BERHALA. Barangsiapa menuruti nafsu bererti menyembah berhala. Orang yang menyembah Allah SWT, dialah yang mampu menahan nafsunya.Diceritakan bahawa Malik bin Dinar berjalan di pasar Basrah. Dia melihat buah tin hingga tumbuh keinginannya terhadap buah itu. Dia membuka kasutnya dan dia memberikan kepada penjual buah itu, seraya berkata,
"Berilah aku buah itu." dan si penjual melihat sandalnya, seraya berkata,
"Oh ini tidak cukup!"
Kemudian Malik berlalu. Maka dikatakan kepada penjual itu,
"Apakah engkau tidak mengetahui siapakah dia?"
Penjual itu menjawab, "Tidak."
Dikatakan kepadanya,"Dialah Malik bin Dinar."
Dengan segera penjual itu meletakkan bakul di bahu pelayannya seraya berkata,
"Jika dia menerima buah ini daripadamu, maka engkau merdeka!"
Kemudian pelayan itu pergi mengikut Malik bin Dinar lalu berkata padanya,
"Terimalah buah ini daripadaku."
Tetapi Malik menolak.
"Terimalah sebab di sinilah kemerdekaanku." kata pelayan itu. Kemudian Malik menjawab,
"Jika di sini kemerdekaan bagimu, di sini pulalah seksaan bagiku."
Namun pelayan itu tetap juga mendesak-desak. Sehingga Malik bin Dinar berkata,"Aku bersumpah tidak akan menjual agama dengan buah tin dan aku tidak mahu makan buah tin itu sampai hari Kiamat!"
Diceritakan pula bahawa Malik bin Dinar sedang sakit menghadapi mautnya. Dia ingin segelas madu dan susu untuk dimakan dengan roti panas. Pelayan segera menyediakannya. Kemudian Malik mengambil dan memandangnya sejenak seraya berkata,
"Wahai nafsu, engkau telah bersabar selama tiga puluh tahun, padahal umurmu tinggal sesaat lagi."
Maka dia membuang gelas itu daripada tangannya, dia menahan nafsunya hingga dia meninggal. Demikianlah sifat para anbiya', aulia', siddiqin dan zahidin serta orang-orang yang merindukan Allah SWT.
Telah berkata Nabi Sulaiman bin Daud as:"Sesungguhnya mengekang nafsu itu lebih sulit daripada membuka sebuah kota bersendirian."
Ali bin Abi Talib ra juga berkata:
"Aku dan nafsuku bagaikan gembala dengan  kambingnya. Jika aku menahannya dari satu sisi, dia melompat dari sisi lain. Barangsiapa dapat menjinakkan nafsunya, dia akan dibungkus dengan kafan rahmat dan dikubur dalam bumi karomah. Tetapi barangsiapa yang membunuh hatinya, terbungkuslah dia dalam kafan laknat serta terkubur alam bumi azab!"
Zahya bin Muaz Ar Razi berkata:
"Perangilah nafsumu dengan taat dan riadah (latihan rohani). Riadah adalah mengurangi tidur, makan mahupun bercakap;menahan kepedihan daripada makhluk. Sedikit tidur akan menyucikan kehendak, sedikit berkata akan terselamat daripada bencana. Dan menahan pedih dapat menghantarkan sampai ke puncak. Bahkan sedikit makan dapat menundukkan syahwat. Sesungguhnya banyak makan dapat mengeraskan hati dan menghilangkan cahayanya. Dan cahaya hikmah adalah lapar. Serta kenyang dapat menjauhkan seseorang daripada Allah SWT."
Sebagaimana Rasulullah SAW telah bersabda:
"Terangilah hatimu dengan lapar. Perangilah nafsumu dengan lapar dan haus. Serta sentiasalah mengetuk pintu Syurga dengan lapar. Sesungguhnya pahala demikian itu bagaikan pahala pahlawan membela agama Allah swt. Dan sesungguhnya tidak ada amal yang lebih disukai oleh Allah swt daripada lapar dan haus. Tidak akan ke kerajaan langit seseorang yang memenuhi perutnya dan kehilangan lazatnya beribadah."
Telah berkata Abu Bakar as-Siddiq ra:
"Aku tidak pernah kenyang semenjak aku masuk Islam agar kutemukan lazatnya beribadah kepada Tuhanku. Dan aku tidak pernah minum puas semenjak masuk Islam kerana rindu berjumpa dengan Tuhanku. Ini kerana jika banyak makan akan sedikit beribadah. Sesungguhnya jika orang banyak makan beratlah badannya, mengantuk dan lemahlah anggota badannya sehingga tidak membuahkan sesuatu. Dia tidur melulu bagaikan bangkai terbuang."
Demikianlah dalam kitab 'Minhajul Abidin'.Daripada Luqman Al Hakim, dia berkata kepada puteranya:
"Janganlah engkau banyak tidur dan makan. Barangsiapa memperbanyak keduanya, pada hari Kiamat dia miskin amal soleh." Ini tersebut dalam kitab 'Maniyyatul Mufti'. Rasulullah SAW telah bersabda:
"Janganlah engkau membunuh hati dengan banyak makan dan tidur. Sesungguhnya hati akan mati bagaikan tanaman jika tergenang air."
Orang-orang soleh menafsirkan perut ibarat kuali di bawah hati. Jika terisi banyak akan menggenangi hati sehingga menjadi kotor dan hitam. Di samping itu banyak makan dapat mengurangi kecerdasan dalam mencari ilmu.Diceritakan daripada Zakaria bin Yahya as. Dia melihat Iblis membawa beberapa tali. Kemudian dia bertanya,
"Apa itu?"
Iblis menjawab: "Inilah 'syahwat'. Dengan ini akan aku akan ikat anak cucu Adam."
Yahya bertanya lagi, "Apakah kau pernah mengikatku dengan itu?"
Iblis menjawab, "Tidak. Hanya pada suatu malam engkau makan sampai kenyang kerananya aku beratkan engkau melakukan solat."
Kemudian Yahya berkata,
"Sesungguhnya telah kejadian itu aku tidak akan makan sampai kenyang selamanya."
Iblis juga berkata, "Sesungguhnya aku tidak akan melepaskan seseorang selamanya."
Demikianlah orang yang tidak pernah kenyang selama hidupnya kecuali satu malam. Bagaimana orang yang tidak pernah lapar kecuali satu malam lalu mengharapkan lazatnya ibadah? Diceritakan juga daripada Yahya bin Zakaria as. Pernah satu kali dia kekenyangan makan gandum. Pada malam itu dia tertidur ketika berwirid. Kemudian Allah SWT memberi wahyu kepadanya seraya berfirman,
"Apakah engkau menemukan rumah untukmu yang lebih bagus daripada rumah-Ku? Apakah engkau menemukan teman yang lebih baik daripada berteman denganku? Demi kemuliaan dan keagungan-Ku jika engkau melihat syurga Firdaus lalu melihat neraka Jahanam, pastilah engkau akan menangis mengeluarkan nanah sebagai ganti air mata dan engkau akan memakai besi bagi menggantikan kain".

Sumber 

Mesir Buka Pintu Sempadan Rafah Minggu Depan



Pihak berkuasa Mesir membuat keputusan untuk membuka terus pintu Sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir bermula minggu depan. Dalam satu kenyataan pada Rabu, seorang pegawai Mesir berkata keputusan itu sebahagian daripada prosedur Mesir untuk memudahkan pergerakan penduduk Palestin keluar dan masuk ke Semenanjung Gaza.
Pegawai itu berkata pihak berkuasa akan menggunakan prosedur serupa yang dilaksanakan pada 2007 sebelum sekatan yang dikuatkuasakan oleh Israel di Gaza apabila wanita, kanak-kanak bawah 18 tahun dan lelaki 40 tahun ke atas tidak memerlukan visa untuk menyeberang ke Mesir.
Duta Palestin ke Mesir, Barakat Al-Fara, mengesahkan bahawa mereka menerima pemberitahuan rasmi daripada pihak Mesir berhubung perkara itu. Minggu lepas, Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza, berkata mereka mahu menutup sepenuhnya pintu sempadan itu sebagai membantah langkah yang dilaksanakan oleh Mesir berhubung pintu sempadan terbabit.
Sementara itu, penduduk Palestin di Semenanjung Gaza yang dikenakan sekatan, menerima keputusan Mesir itu dengan perasaan girang. Penduduk berdepan banyak kesukaran untuk masuk dan keluar dari Semenanjung Gaza semasa pemerintahan bekas rejim Mesir, lebih-lebih lagi susulan sekatan yang dikenakan oleh pihak Israel.
Beratus-ratus pelajar Gaza tidak dapat menamatkan pengajian mereka di beberapa negara Arab dan asing ekoran halangan perjalanan. Penduduk yang pernah bekerja di luar negara pula terkandas di Gaza dan hilang pekerjaan mereka.
Beribu-ribu penduduk Palestin yang tinggal di luar Semenanjung Gaza terpaksa menikmati percutian mereka jauh daripada keluarga masing-masing berikutan kebimbangan terkandas di wilayah yang sempit itu. Aum Yasser Sebeeh, 45, tidak bertemu anak lelakinya yang mengikuti pengajian perubatan di Jerman sejak 2007, kerana bimbang untuk mengunjungi Gaza dan kemudiannya terkandas.
"Kami amat gembira dengan keputusan pihak berkuasa Mesir. Kini anak lelaki kami boleh mengunjungi Gaza tanpa perlu rasa bimbang," kata Aum Yasser.
Hamas, pemerintah Islam di Semenanjung Gaza, merakamkan penghargaan terhadap keputusan pihak berkuasa Mesir untuk membuka pintu sempadan itu.
"Kami menganggapkannya sebagai satu keputusan yang berani dan bertanggungjawab yang menunjukkan peranan sebenar pihak berkuasa Mesir ke arah perjuangan penduduk Palestin," kata jurucakap Hamas, Fawzi Barhoom. Pintu sempadan Rafah dikuasai oleh Israel tetapi selepas pengunduran Israel dari Gaza pada 2005, pintu sempadan itu dikendalikan oleh pihak berkuasa Palestin dan Mesir dengan kehadiran pemeriksa daripada Kesatuan Eropah, sebagai sebahagian daripada perjanjian di mana Amerika Syarikat menjadi orang tengah.
Perjanjian itu digantung selepas Hamas mengambil alih Semenanjung Gazadaripada seterunya, Fatah, pada 2007. Akibat daripada perbezaan pendapat warga Palestin itu,  pemeriksa dari Eropah menggantung misi mereka dan pihak berkuasa Mesir memutuskan untuk membuka sebahagian daripada pintu sempadan itu dengan diselaraskan oleh pihak Palestin.
Menurut penganalisis Palestin, hubungan antara Palestin dan Mesir bertambah baik selepas revolusi secara aman oleh penduduk Mesir menentang Hosni Mubarak dan rejim beliau. Penganalisis berkata ketegangan antara Israel dan Mesir semakin memuncak ekoran pendirian terbaru terhadap perjuangan penduduk Palestin.
SEMENANJUNG GAZA, 26 Mei


Sumber

Pelihara Dirimu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.
Saya ada terbaca..
"3 perkara yang boleh menghancurkan umat yang paling kuat adalah zalimnya pemimpin, berpecahnya rakyat, rosaknya wanita." 
[Mustafa As Sibaei]
Hmm.. Membuat diri ini berfikir dan berfikir lagi. Benar. Begitu sekali pengaruh wanita terhadap masyarakat dunia. Merekalah yang mampu menjadi agen perubah (kebaikan maupun kehancuran) yang dapat memberi impak besar terhadap masyarakat.
Kata-kata di atas hakikatnya bukan sekadar teori, namun telah dibuktikan jua pada alam realiti.
Bak kata pepatah Inggeris pula, "Behind every great man, there is a great woman."
Jarang sekali seorang pemuda yang berjaya, baik dalam sahsiah dan akademiknya, melainkan di belakangnya seorang ibu yang penyayang, yang sentiasa memberi didikan dan sokongan.
Jarang sekali seorang tokoh masyarakat yang hebat, baik dalam apa-apa lapangan, melainkan di sisinya ada seorang isteri yang sentiasa memberi kekuatan dan inspirasi.
Ya, jarang sekali.
Kerana dalam kebiasaan, seorang lelaki dapat mejadi hebat dan sentiasa terdorong untuk mencapai cita-citanya, atas motivasi dan sumber kekuatan yang diperoleh dari seorang wanita, yang tidak jemu memberi sokongan kepadanya, dalam suka maupun duka.
Merekalah yang menjadi isteri, yakni sayap-sayap kiri bagi pemimpin-pemimpin harapan pada hari ini.
Mereka jualah ibu, sekaligus merupakan pendidik pertama dan utama kepada generasi umat masa hadapan.
Maka sungguh saya katakan pengaruh wanita amat besar terhadap dunia.
Oleh itu, sajak ini tercipta. Saya dedicate sajak ini kepada, kakak saya dan juga saudara-saudara perempuan seIslam semua..
Dan kepada ibu, thanks for everything.. Can never repay you.
Moga-moga mesej yang disampaikan dapat mencetus aspirasi kepada semua. Amin.
Pelihara Dirimu
Pelihara dirimu,
Wahai mawar berduri.
Dirimu suci,
Seindah perhiasan diberi.
Jangan pula kau cemari diri,
Dek hitam debu duniawi.
Datangnya Islam mengangkat martabatmu,
Terciptanya syariat demi memelihara dirimu,
Sayangi dirimu,
Dan ketahuilah, Allah jua amat kasih padamu.
Oh mawar berduri,
Pelihara peribadi,
Hargai maruah diri,
Dan dirimu akan menjadi penyeri,
Keindahanmu mampu mengatasi segala perhiasan duniawi.
Jangan sesekali kau goncang iman sang lelaki dengan lirik manjamu,
Sebaliknya, kau goncanglah dunia dengan keteguhan imanmu!
*****
Sumber Rujukan/Ilham:
1. Hanyasanya engkau, wanita solehah;
"Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah."
[HR. Muslim]
2. Pelihara Maruahmu;
"Katakanlah kepada wanita yang beriman, "Hendaklah mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, ... "
[Surah An-Nur (24): 31]
Jumhur ulamak berpendapat (berdasarkan hadis-hadis) bahawa yang 'biasa tampak darinya' dimaksudkan dengan muka dan telapak tangan.
3. Tabarruj? Engkau tidak perlukannya...
"... janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah..."
[Surah Al-Ahzab: 33]
4. Contohi mereka, tidak perlu kau lunak-lunakkan suaramu;
"Wahai istri-istri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik."
[Surah Al-Ahzab (33): 32]
5. Jangan jadi fitnah bagi kami!
"Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita"
[HR. Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa'i dan Ibnu Majah]
Wahai muslimah, pelihara dirimu jua ketika berada di alam maya (jangan terlalu mesra dengan bukan mahram..). 'Dunia tanpa batasan' katanya? Sedangkan batas-batas pergaulan dalam Islam itu perlu sentiasa dijaga.
** Kalaulah para muslimah solehah itu tahu, betapa diri mereka mampu menggoncang hebat iman sang lelaki...

 Sumber

Kuasa Taqwa

Subhanallah, besar sungguh kuasa taqwa. Sebesar makna sebuah taqwa. Apa itu taqwa?
Dari Abu Dzar bin Junadah dan Abu Abdurrahman Muadz bin Jabal radhiyallahu'anhuma, dari Rasulullah S.A.W Baginda bersabda, "Bertakwalah kepada Allah di mana pun engkau berada. Iringilah kejelakan dengan kebaikan, nescaya kebaikan tersebut akan menghapuskannya. Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik." (HR. Tirmidzi, dan dia berkata: Hadis Hasan Shahih. Hasan dikeluarkan oleh at-Tirmidzi di dalam [al-Bir Wash Shilah/1987] dan dishahihkan oleh al-Albani di dalam al-Misykat [5083])
Taqwa di mana? Bila? Bagaimana?
"Bertaqwalah kepada Allah.." sudah jelas ia adalah satu ayat perintah. Samalah seperti ayat yang menyuruh kita untuk tidak melanggar undang-undang dan lain-lain. Bukan satu arahan yang main-main seperti :
"Kalau senang, bertaqwalah ye..."
"Nanti kalau kamu ada masa, kamu bertaqwalah.."
Tidak!
Taqwa ini adalah satu suruhan oleh Allah dan Rasul. Ia adalah satu urusan yang perlu dibina setiap waktu. Perkara yang perlu kita perhalusi. Perlu dicantikkan. Perlu dikuatkan.
Maka, mahu atau tidak, taqwa ini perlu kita bina.
Tetapi sebelum kita pergi lebih jauh dan semakin saya membuatkan anda lebih tidak faham apa yang saya cuba katakan, sebaiknya kita kupas dahulu apakah maksud taqwa?
Taqwa berasal dari perkataan waqayaqiwiqoyah yang ertinya memelihara. Di sekolah kita diajar taqwa ini adalah takut kepada Allah. Takut cumalah sifat yang ada dalam taqwa. Dengan membawa erti pelihara, taqwa ini akan memberi makna yang lebih besar.
Contohnya, seorang lelaki takut untuk bermesra dengan seorang wanita bukan muhrimnya. Ketakutannya datang ketika itu sahaja. Tetapi, sekiranya seorang lelaki itu memelihara dirinya dari bermesra dengan wanita bukan muhrimnya, dia sentiasa cuba untuk menjaga dirinya setiap masa. Dan ketika dia diuji, perasaan takut tadi lahir daripada usahanya memelihara dirinya.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan". [at-Tahriim: 6]
Maka , jika taqwa adalah memelihara, boleh kita mudahkan yang taqwa ini seumpama "mine detector" (kesan bom bawah tanah).
Taqwa ini memberikan kita amaran bahaya.
"Teet..Teet... Ha!! Fulan bin Fulan. Jangan jalan dekat depan. Belok kanan. Di depan ada  syaitan dan nafsu..."
Tetapi dengan degilnya diri ini cuba juga untuk melawan kata-kata dari taqwa itu tadi.
Maka apabila berdepan dengan bahaya, taqwa ini bertukar menjadi baju perisai. Sebagaimana sepatutnya ia menjadi pemelihara.
Dan firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)".[al-A'raaf: 26]
Maka sepatunya telah jelaslah taqwa itu adalah pemelihara dan pengawal. Semasa kita menjadikan taqwa itu sebagai kubu atau benteng kita, kita telah meletakkan Allah di hadapan kita. Kita meletakkan Allah sebagai benteng kita. Kita meletakkan rasa kehambaan sebagai panduan. Kita meletakkan keinginan Allah di hadapan berbanding keinginan diri kita.
Di tempat di mana pun engkau berada engkau pasti bertaqwa. Engkau tidak hanya bertakwa kepada Allah di tempat yang di sana orang-orang melihatmu saja. Dan tidak hanya bertakwa kepada-Nya di tempat-tempat yang engkau tidak dilihat oleh seorang pun, kerana Allah sentiasa melihatmu, di tempat mana pun engkau berada. Oleh karena itu, bertakwalah di mana pun engkau berada.
Bagaimana?
Kita disuruh bertaqwa tetapi kita tidak tahu apakah sebenarnya alat untuk bertaqwa. Mari kita lihat antara ciri-ciri taqwa.
Ketika seorang sahabat bertanya Umar, bagaimana itu taqwa, Umar mengatakan ia seperti berjalan di atas jalan berduri. Kita akan menarik ke atas sedikit kain jubah kita dan berjalan dengan hati-hati.
Lihat, kita tidak mahu duri dosa-dosa itu mengoyak jubah kehidupan kita dalam kita mengharungi jalan untuk bertemu Kekasih Teragung, Allah S.W.T.
Adakah seorang kekasih mahu berjumpa kekasihnya dengan pakaian yang koyak rabak. Malah, dia akan berhati-hati terhadap semua perbuatannya.
Sesungguhnya, taqwa itu adalah satu cahaya nurani yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Dengannya kita akan menjadi peka. Sebagaimana pekanya seekor kucing apabila terbau friskies. Atau sebagaimana tiba-tiba kita merasa tidak sedap hati terhadap sesuatu. Itu adalah satu rasa yang Allah kurniakan. Tetapi taqwa ini adalah rasa yang lebih khusus. Di mana ia dapat menghidu bahaya dosa dan tidak mahu terjebak dengannya. Hatinya meronta untuk jauh daripadanya. Itulah taqwa. Dan ia tidak selesa berada dalam dosa. Itulah taqwa.
Maka Allah mencipta alat-alat yang hebat untuk membina rasa hati yang bernama taqwa itu.
Sekarang, anda semua sudah tahu apa itu semua.
Itulah ibadah yang Allah ciptakan.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas umat-umat sebelum kamu agar kamu bertaqwa" [al-Baqarah: 183]
Bukankah itu bukti yang ibadah-ibadah ini membentuk taqwa?
Iman dibina dengan satu kepercayaan yang tidak berbelah bahagi tetapi bukan satu percaya kosong. Ia disertakan dengan bukti bersama hujah. Kerana itu, Islam adalah "agama" yang punya bukti. Bukan cuma dogma mainan ilusi atau percaya buta.
Bahkan dalam Islam istilah taqlid buta tidak ada. Bahkan mahu beribadah sahaja, kita perlu tahu buktinya dan kita faham kekuatan asal-usulnya mengikut sunnah dan syariah atau tidak.
Cuba lihat dengan begini :
Insan—> Muslim—> Mu'min—> Muttaqin
Seorang insan itu apabila dia menjadi Muslim, dia sudah meletakkan Allah sebagai rabb dan Rasul sebagai panduannya. Tetapi Imannya perlu dibina, sebagaimana seorang askar prebet dinaikkan pangkat menjadi Leftenan.
Kemampuan Leftenan berbeza dari prebet. Maka dia juga perlu diasuh untuk jadi Leftenan. Latihannya berbeza. Sebagaimana latihan komando, berbeza dari latihan askar biasa.
Tetapi prinsip latihannya sama.
Seorang Muslim tetap solat. Tetapi seorang Mu'min solatnya berlainan. Solatnya yang wajib dikerjakan. Bezanya, dia kuatkan solat itu dengan kekuatan khusyuk.
Dia memahami bahawa solat itu adalah tanda dia adalah hamba dan dia menjadi hamba setiap waktu dan dia mengakui dirinya sebagai hamba setiap hari lima waktu. Adakah dia akan mahu melawan "Towkey" yang memilikinya pada waktu yang lain?
Itulah ketika ia menjadi taqwa. Ia menjadi muttaqin. Ketika itu jugalah amal ibadahnya cuba ditingkatkan. Dia cuba menguatkan lagi dengan solat-solat sunat, qiam, solat rawatib dan lain-lain. Puasanya jelas pada zahir dan batinnya. Zakatnya bukanlah sekadar untuk lepas syarat. Dia memahami tentang apa yang dia cuba lakukan dengan sebenar-benarnya.
Ketika itulah setiap perbuatannya cuba dilakukan dengan berhati-hati supaya dia sentiasa berjalan dalam langkah hamba yang mensucikan dan memelihara diri.
Itulah taqwa... itulah kuasa taqwa.
Ittaqullah...

Sumber